Saturday 21 July 2012

Perutusan Ramadhan GAMIS Terengganu




Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).


Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim). Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda: "Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan." (Muttafaq 'alaih)

Sempena dengan kehadiran Ramadhan yang penuh diberkati lagi mempunyai banyak fadhilat di dalamnya, saya dengan rendah dirinya ingin mengajak semua mahasiswa Terengganu bersama-sama kita merenungkan perjalanan kehidupan kita di dalam menyempurnakan urusan seharian dengan aktiviti pembelajaran dan lain-lain aktiviti di kampus masing-masing. Jika diibaratkan diri ini sebuah mesin, pasti akan sampai waktu dan tempohnya perlu diservis mengikut tempoh yang telah ditetapkan supaya tidak akan berlaku kerosakan pada kompenen yang lain.

Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW. bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, maka diampunkanlah untuknya dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah SAW. bersabda: "Allah 'Azzawajalla berfirman -dalam hadis qudsi-: "Semua amal perbuatan anak Adam -yakni manusia- itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku yang akan memberikan balasan dengannya. Puasa adalah sebagai perisai dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seorang atau dilawan dengan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya bau dari mulut seorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, yaitu apabila ia berbuka, iapun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, iapun gembira dengan adanya amalan puasanya." (Muttafaq 'alaih) Dan ini adalah lafaz riwayat Imam Bukhari. 

Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.

Sepertimana sebuah hadis Sabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun." (HR Tirmidzi)

Selain dari mengikhlaskan diri kita, berpuasa adalah untuk menurut perintah Allah SWT, kita juga beruntung kerana kita dipilih menjadi ummat yang banyak kelebihan yang mana tidak terdapat pada ummat sebelum ini. Sepertimana sebuah hadis Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."

1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."
4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.
5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.  Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya." (Riwayat Imam Ahmad)

Akhirnya saya berharap agar puasa kita pada tahun ini diterima sebagai suatu amalan yang menjanjikan pintu untuk memasuki Syurga kelak sepertimana diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.’ (HR Bukhari)




Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.

Pengerusi GAMIS Terengganu.
Omar Abu Dardak Bin Suhaimi

No comments:

Post a Comment