Friday 14 September 2012

Hina Nabi : Mahasiswa Bersama Umat Islam Sedunia


Bismillahir Rahmanir Rahim.

Berikutan penyebaran sebuah video filem pendek menghina Nabi Muhammad SAW di laman sesawang Youtube. Maka dengan ini Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia cawangan Terengganu bersama dengan umat Islam seluruh dunia mengutuk dengan sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.

Selaku mahasiswa yang beragama Islam, kami menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia terutamanya mahasiswa dan mahasiswi Islam supaya bangkit dan menyatakan pendirian kita terhadap penghinaan ke atas batang tubuh baginda SAW. Disamping itu, kita haruslah menjaga adab-adab dan tatasusila dalam menyatakan sokongan dan pendirian kita agar tidak melampau dan mengikut emosi semata-semata sehingga menghina agama lain seterusnya mencetuskan keadaan yang lebih parah.

Agama Islam melarang umatnya menghina agama ataupun pegangan manusia lain namun, jika sekiranya agama Islam dicaci dan dihina serta Nabinya dipersenda. Maka, itu telah dikira melanggar etika yang telah ditetapkan oleh Syarak.

Justeru itu, kami mengharapkan dan menggesa tindakan yang sewajarnya diambil oleh pihak yang bertanggungjawab ke atas mereka yang melakukan penyebaran dan pembikinan filem pendek yang menghina Rasulullah SAW.

Sekian,

Muhammad Nasiruddin Othman
Setiausaha
Gambungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
Cawangan Terengganu

Saturday 21 July 2012

Perutusan Ramadhan GAMIS Terengganu




Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).


Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim). Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah SAW. bersabda: "Apabila bulan Ramadhan telah datang, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan." (Muttafaq 'alaih)

Sempena dengan kehadiran Ramadhan yang penuh diberkati lagi mempunyai banyak fadhilat di dalamnya, saya dengan rendah dirinya ingin mengajak semua mahasiswa Terengganu bersama-sama kita merenungkan perjalanan kehidupan kita di dalam menyempurnakan urusan seharian dengan aktiviti pembelajaran dan lain-lain aktiviti di kampus masing-masing. Jika diibaratkan diri ini sebuah mesin, pasti akan sampai waktu dan tempohnya perlu diservis mengikut tempoh yang telah ditetapkan supaya tidak akan berlaku kerosakan pada kompenen yang lain.

Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW. bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadhan kerana didorong oleh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, maka diampunkanlah untuknya dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah SAW. bersabda: "Allah 'Azzawajalla berfirman -dalam hadis qudsi-: "Semua amal perbuatan anak Adam -yakni manusia- itu adalah untuknya, melainkan berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku yang akan memberikan balasan dengannya. Puasa adalah sebagai perisai dari kemaksiatan serta dari neraka. Maka dari itu, apabila pada hari seseorang di antara engkau semua itu berpuasa, janganlah ia bercakap-cakap yang kotor dan jangan pula bertengkar. Apabila ia dimaki-maki oleh seorang atau dilawan dengan bermusuhan, maka hendaklah ia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." Demi Zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, sesungguhnya bau dari mulut seorang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seorang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan dan ia dapat merasakan kesenangannya, yaitu apabila ia berbuka, iapun bergembiralah dan apabila telah bertemu dengan Tuhannya, iapun gembira dengan adanya amalan puasanya." (Muttafaq 'alaih) Dan ini adalah lafaz riwayat Imam Bukhari. 

Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.

Sepertimana sebuah hadis Sabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahalanya, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun." (HR Tirmidzi)

Selain dari mengikhlaskan diri kita, berpuasa adalah untuk menurut perintah Allah SWT, kita juga beruntung kerana kita dipilih menjadi ummat yang banyak kelebihan yang mana tidak terdapat pada ummat sebelum ini. Sepertimana sebuah hadis Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. telah bersabda, "Umatku telah diberikan dalam Ramadhan lima perkara yang belum bernah diberikan kepada mana-mana umat pun sebelum mereka."

1. Bau busuk mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
2. Ikan-ikan di laut akan beristigfar untuk mereka sehingga mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah s.w.t. akan menghiaskan syurgaNya dan berkata, "Telah hampir masanya hamba-hambaKu yang soleh akan dilepaskan dari beban-beban dan mereka akan datang kepadamu."
4. Dirantaikan syaitan-syaitan yang jahat di dalam Ramadhan dan mereka tidak akan dapat berbuat sesuatu dalam Ramadhan ini apa yang biasa mereka lakukan pada bulan lain.
5. Mereka akan diampunkan pada malam terakhir Ramadhan.  Ditanya kepada Rasulullah, "Adakah ia lailatur Qadar?" Baginda menjawab, "Tidak! Tetapi seorang pekerja yang diberikan ganjarannya apabila telah selesai kerjanya." (Riwayat Imam Ahmad)

Akhirnya saya berharap agar puasa kita pada tahun ini diterima sebagai suatu amalan yang menjanjikan pintu untuk memasuki Syurga kelak sepertimana diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d R.A daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya: ‘Sesungguhnya di dalam syurga terdapat satu pintu yang disebut Ar-Rayyan yang mana pada hari Kiamat orang-orang yang berpuasa masuk daripadanya (dan) tidak seorangpun selain mereka memasukinya. Dikatakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Maka mereka pun berdiri (untuk memasukinya), tidak ada seorang pun selain mereka yang memasukinya. Apabila mereka telah masuk maka pintu itu ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk dari padanya.’ (HR Bukhari)




Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.

Pengerusi GAMIS Terengganu.
Omar Abu Dardak Bin Suhaimi

Friday 20 July 2012

Wakil GAMIS Terengganu Bersama-sama Anak Muda Dan Masyarakat




HULU TERENGGANU : GAMIS Terengganu telah menghantar wakilnya bagi menyertai beberapa program bersama masyarakat terutamanya program anak-anak muda. Program-program yang disertai itu diantaranya Kejohanan Bola Sepak Piala Purnama anjuran Pemuda DUN Manir yang berlangsung di Padang Bola Kampung Kubang Bujuk, Manir. Kejohanan tersebut berlangsung selama 2 hari bermula pada hari Jumaat 13 Julai 2012 dan berakhir pada 14 Julai 2012 disebelah petangnya.

                Sepertimana pesanan dari Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan supaya tubuh badan menjadi kuat serta boleh terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Dan ada juga perpatah Arab yang berbunyi
`Akal yang sihat adalah dari badan yang sihat

              Badan yang sihat akan melahirkan minda yang sentiasa aktif untuk membuat sesuatu kebaikan dan menghilangkan rasa malas, kurang motivasi, mengurangkan penyakit dalam badan dan membawa kepada kecemerlangan dalam kehidupan seseorang Muslim samada dia seorang pelajar atau apa sahaja profesyen yang dia ceburi. Malah kualiti dalam hasil kerjanya juga akan terserlah dan akan meningkat dari masa kesemasa di sebabkan dia mempunyai tubuh badan yang sihat dan mampu memberi penumpuan dan fokus kepada kerjanya. 

Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.

            Selain dari itu, wakil GAMIS juga turut serta dalam kejohanan yang lain iaitu Kejohanan Ambang Final EURO pada 2 Julai yang lalu di Mesjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu dan di Pasar Manir, Kuala Terengganu. Kedua-dua kejohanan ini berlangsung secara serentak pada malam final EURO bermula jam 9.00 malam hingga 2.30 pagi kemudiannya sesi penyampaian hadiah dan terus menonton perlawanan akhir EURO bersama-sama anak muda.


Pengerusi GAMIS,
Negeri Terengganu.

.::Khatirah Ramadhan::.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertaqwa"

(al-Baqarah : 183)

Apa yang menjadi tonggak kepada ibadah puasa yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas ialah, 'taqwa'. Maka, ramai dikalangan para Sahabat RA dan para Ulamak yang menghuraikan pengertian taqwa itu sendiri. Antaranya yang disebut oleh Saidina Ali RA tentang pengertian taqwa yang sebenarnya ialah :-

1- Takutkan Allah SWT
2- Beramal dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah SWT
3- Merasa cukup dengan kurniaan Allah SWT walaupun sedikit
4- Sentiasa bersedia untuk Hari Akhirat

Wallahu a'alam.

Thursday 19 July 2012

RAMADHAN 1433H

Kita panjatkan syukur kepada Allah SWT dan juga  selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad SAW, juga untuk segenap keluarga dan sahabatnya, serta siapa saja yang menyerukan dakwahnya sehingga hari kiamat.

Kedatangan event terbesar tahun ini yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam dengan menjadikan bulan Ramadhan sebagai madrasah Tarbiyah(pendidikan) seterusnya mendapat redha daripada Allah SWT. Bagaimanakah persiapan Ramadhan kita pada kali ini?? Adakah Ramadhan kali ini, semakin baik atau semakin jauh daripada Allah?? Adakah kita sempat menghabiskan Ramadhan tahun ini??


Bulan Ramadhan di Tahun 1433 H atau tahun 2012 Masehi telah tiba, kini tiba saatnya bagi seluruh umat Islam melakukan ibadah wajib, iaitu menunaikan ibadah puasa selama lebih kurang 30 hari dan dengan rasa syukurnya kerana kita masih diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu bulan barakah ini. Semoga Ramadhan kali ini terus mendapat kenikmatan dan penghayatan dalam beribadah kepada-NYA seterusnya meraih kemenangan.

Allah SWT telah mengistimewakan bulan Ramadhan , pintu-pintu syurga terbentang luas kerana manusia berbodong-bodong melaksanakan ketaatan, ibadah dan taubat. Suasana kondusif untuk syaitan dibelenggu kerana manusia beralih kepada perkara makruf. Siang dan malam Ramadhan merupakan masa kemulian yang diberikan oleh Al-Haq, agar orang-orang yang beriman menambah keimanan kepada Allah SWT dan orang yang jauh daripada Allah mencari peluang yang terbentang luas sehingga Allah SWT mengampuni mereka dan menjadikan mereka hamba-hamba yang dicintai dan didekatkan dengan Allah SWT. 



Keutamaan dan keistimewaan paling besar bulan ini adalah, Allah SWT telah memilihnya menjadi waktu turunnya Al-Qur’an. Mungkin ada diantara kita menjadikan Al-quran sebagai koleksi atau perhiasan, padahal kita sepatutnya mentadabur dan mengingati tujuan sebenar penurunan Al-Quran serta WAJIB mengamalkan seluruh isi kandungannya.  Firman Allah:-

“Dalam bulan Ramadhan diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Sesiapa antara kamu menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu. Sesiapa yang sakit atau musafir (diharuskan berbuka) hendaklah menggatikannya pada hari-hari lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan. Hendaklah kamu cukupkan bilangan puasa dan hedaklah kamu mengagungkan Allah kerana memberi petunjuk kepada kamu, semoga kamu bersyukur.(Al-Baqarah :185)

Sambutan Aidilfitri lebih meriah berbanding sambutan Ramadhan Al-Mubarak dalam konteks suasana hari jika dibandingkan dengan negara-negara di Timur Tengah. Semoga kita semua dapat sama-sama melakukan anjakan paradigma pada bulan Ramadhan sehingga akhir hayat, lalu bertambah umat Muhammad SAW yang beriman di medan dunia sementara ini.

Akhir kalam, saya mewakili saf kepimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia, Terengganu(GAMIST) mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam serta warga mahasiswa khususnya. Semoga sama-sama kita dapat tunaikan solat sunat tarawih, qiamulail dan ibadah lain seterusnya tercapai TAQWA yang menjadi teras dalam diri manusia mukmin. 





Wallua’lam
Muhammad Izzuddin Moktar
Pengerusi Majlis Dakwah & Kebajikan GAMIS
Negeri Terengganu

Friday 8 June 2012

RUNTUH: HIMPUN dan INGAT

Semalam, RUNTUH di Terengganu mengadakan perhimpunan aman dalam memberi sudut pencerahan kepada rakyat Terengganu. Kali ini ia melibatkan, rakyat marhaen Terengganu, termasuk anak muda dan juga dewasa. Tidak ketinggalan GAMIS TERENGGANU juga menyertainya bersama-sama dengan front-front mahasiswa yang lain antaranya GEMPUR dan lain-lain lagi.



Hasratnya untuk mengingatkan kembali apa yang berlaku tentang penyelewengan yang di lakukan oleh kerajaan negeri dan seharunya sebagai rakyat Terengganu, dapat menunjukkan rasa tidak puas hati atas salah guna kuasa dan urus tadbir yang lemah. Seharusnya ia menjadi satu titik kebangkitan rakyat Terengganu agar rakyat tidak di tindas oleh pemerintah yang zalim! Ayuh Ubah. Berani Berubah.

Membantah Pembekuan PTPTN


Dek kerana mereka berkuasa, mahasiswa telah dijadikan sebagai tempat uji kaji adalaha suatu tindakan yang sangat kami kesali dan mengecam tindakan tersebut. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu menentang tindakan tersebut sebagai suatu tindakan yang tidak masuk akal dan tidak professional.

Hal ini menampakkan seolah-olah mereka sudah lari dari slogan yang dilaung-laungkan selama ini oleh Perdana Menteri iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Dengan membekukan PTPTN bagi kemasukkan pelajar baru-baru ini, jelas ia menunjukkan bahawa kerajaan pemerintah hari ini terdesak sehingga sanggup menjadikan mahasiswa sebagai mangsa politik bagi menunjuk yang mereka ini berkuasa.

Pebuatan ini jelas telah menzalimi mahasiswa, KUIS dan UNISEL untuk dijadikan mangsa pemerintah seperti mana kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya sekadar ingin menguji sama ada Kerajaan Negeri Selangor serius dalam menyediakan pendidikan percuma. Hal ini dengan jelasnya mereka menzalimi hak mahasiswa dan kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan zalim ini. Hal ini ada disebutkan di dalam Al-Quran pada Surah Al-Maidah ayat 8 :
  
Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan. 



Omar Abu Dardak Bin Suhaimi
Pengerusi GAMIS
Negeri Terengganu.